OGOS 2022

Sarawak, Petronas Jalin Kembali Kerjasama Baik


BETONG: Sarawak dan Petronas sudah kembali menjalin kerjasama yang baik  untuk memajukan industri minyak dan gas di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu kembali terjalin  walaupun Sarawak dan Petronas sudah berhadapan di

mahkamah sebelum ini.

"Sekarang sudah terjalin kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak untuk memajukan industri minyak dan gas di Sarawak, pada peringkat hiliran dan huluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Betong, hari ini.

Sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Abang Johari mendedahkan kerjasama ini dimeterai di bawah Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil atau Commercial Settlement Agreement yang ditandatangani kedua-dua belah pihak pada Disember 2020.

"Antara lain, Petronas memberi komitmen untuk menyalurkan lebih banyak gas bagi tujuan membangunkan hub petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu dengan pembinaan loji penyaluran gas kedua di Tanjung Kidurong," tambahnya.

Beliau yakin melalui kerjasama ini dan dengan pihak-pihak lain, Sarawak akan mempunyai hub petrokimianya sendiri yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, khususnya belia.

"Kerajaan Sarawak juga bersedia untuk menjalin kerjasama dengan pihak pelabur dari luar negara seperti Korea dan Jepun untuk membangunkan ekonomi hidrogen di negeri ini," katanya 

Abang Johari juga menyatakan  akan berkunjung ke Korea untuk mempereratkan kerjasama dengan pihak pelabur di sana, hujung minggu ini dan  memenuhi undangan ke Jepun untuk berkongsi pandangan mengenai hidrogen sebagai sumber bahan bakar baru pada Oktober ini.

Sumber dari : Jiwa Bakti